Maxis beri akses pendidikan digital kepada lebih banyak komuniti luar bandar

SEBUYAU 20 Jun – Maxis berjaya membantu lebih banyak komuniti luar bandar khususnya di Sarawak dengan akses pembelajaran digital selepas membuka sekolah iaitu eKelas di 54 Pusat Internet (PI) di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Robert Nason berkata, insiatif tersebut bermula pada 2015 dengan hanya 10 PI terlibat yang kini semakin berkembang menjadi suatu yang dekat kepada Maxis sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) utama dan berdasarkan permintaan daripada komuniti itu sendiri.

Beliau berkata, pihaknya juga memastikan kualiti dengan pengalaman pembelajaran digital terbaik dapat disampaikan oleh guru yang bagus kepada pelajar di luar bandar.

“Seramai 4,000 pelajar terlibat dalam 54 eKelas di seluruh negara yang mana Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 13 PI di sekitar Kuching, Sibu dan Miri.

“Kita mahu mengembangkannya lagi namun maklum balas daripada sekolah dan komuniti perlu diambil kira dalam memastikan hasrat tercapai dengan kerjasama semua pihak dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa mengunjungi Wadah eKelas di PI Kampung Tebelu, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Wilayah Maxis Sarawak, Alex Bong; Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Scott Kueh Sui Yek dan Ketua Kampung Tebelu, Polly Mat.

Maxis eKelas menawarkan tutorial langsung dengan kandungan digital secara interaktif disamping pertandingan dan kem percutian bagi menawarkan pembelajaran lebih menarik.

Ia bertujuan meningkatkan prestasi akademik pelajar terutama di luar bandar dengan menumpukan mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris untuk tingkatan satu, dua dan tiga.

Mengulas lanjut, beliau berkata, peningkatan pencapaian pelajar-pelajar juga dapat dilihat dengan mewujudkan Anugerah Gemilang setiap tahun sebagai galakan kepada mereka.

“Seramai 11 pelajar eKelas menerima Anugerah Gemilang 2017 yang menyediakan hadiah RM1,200 bagi peningkatan dalam ketiga-tiga subjek terlibat atau RM600 (peningkatan dua subjek) ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN),” jelasnya.

Bagi pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau, Mohmmad Shahfathul Sahlan memberitahu, eKelas yang disertai membantunya dalam mengulang kaji pelajaran melalui kuiz-kuiz dan pertandingan. – UTUSAN ONLINE

Berita ini diterbitkan oleh UTUSAN